HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

UMNO lebih suka MUDA bertanding PRN Johor, boleh pecahkan undi bantu menang besar


Kemasukkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dialu-alukan UMNO kerana ia bakal memberi peluang mereka meraih kemenangan besar nanti seperti di Melaka.

Bagi UMNO, parti yang dikepalai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu mungkin akan dapat mencuri pengundi muda daripada parti-parti lain yang turut bertanding dalam PRN Johor dan bakal memecahkan undi di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Apabila undi berpecah banyak, ia bakal memberi kelebihan kepada UMNO untuk memenangi PRN Johor walaupun jumlah pengundi muda meningkat banyak pada pilihan raya kali ini.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas, susulan pendaftaran automatik Undi18, sekali gus menjadi cabaran kepada parti-parti politik yang bertanding.

Syed Saddiq sudah membuat pengumuman untuk bertanding di Johor walaupun tidak mempunyai jenteranya sendiri, berkemungkinan terpaksa bergantung kepada bantuan parti pembangkang lain.

Walaupun tidak memandang rendah terhadap kemampuan parti Syed Saddiq itu, UMNO sebenarnya sangat gembira sekiranya MUDA masuk bertanding kerana ia sekurang-kurangnya akan dapat mencuri undi kepada parti lawan yang lain.

Apabila undi tersebut dapat dicuri MUDA, ia secara tidak langsung akan mengurangkan peluang buat parti lain yang bertanding untuk memang sebaliknya pertembungan banyak penjuru hanya akan memberi kelebihan kepada UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak termasuk MUDA yang sudah berdaftar secara sah, harus diberikan peluang bertanding untuk menguji kebolehan mereka.

“Orang muda akan diberi peluang seluasnya dan UMNO adalah parti yang sentiasa memberi peluang kepada orang muda, dan saya sendiri jadi calon ketika berumur 28 tahun. Kita harus mengalu-alukan penyertaan (MUDA), kerana kalau tidak dia hanya ‘berbunyi’ tetapi tidak diberi peluang untuk menguji kehadiran mereka sebagai sebuah parti politik berdaftar.

“Kita tidak harus perlekehkan sesiapa (yang bertanding) hatta calon bebas yang menawarkan diri,” katanya dipetik laporan Bernama hari ini.

Annuar berkata UMNO tidak boleh memperkecilkan kemampuan MUDA, malah memuji langkah parti itu yang mahu masuk bertanding PRN Johor.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menganggap setiap pilihan raya itu termasuk PRN Johor penting dan mustahak, kerana selagi rakyat belum membuat keputusan dalam peti undi adalah tidak elok bersikap terlalu yakin.

“Kita perlu buat penampilan, manifesto, gerak kerja yang baik dengan izin Allah, terbuka pintu hati para pengundi untuk beri kepercayaan, kita akan menang. Kita dah lalu banyak pilihan raya, sudah pernah tewas dalam pilihan raya.

“Kita tidak boleh takbur, sombong, ‘overconfident’. Kita mesti tunjuk kita parti yang bertanggungjawab, ikhlas hendak membentuk kerajaan yang stabil di Johor,” katanya.

Tiada ulasan: