HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

Tindakan bekas Adun keluar Bersatu memakan diri – Mohd Solihan

MALAYSIA POST

Tindakan bekas Adun keluar Bersatu memakan diri – Mohd Solihan

TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad keluar dari Bersatu tidak memberi kesan melainkan sekadar memenuhi kehendak pihak yang mempengaruhinya berbuat demikian untuk melemahkan parti itu.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri, berkata tindakan keluar parti itu dilihat kerana takut tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus hilang jawatan Exco dan lantikan ahli Lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

“Justeru, Mohd Izhar beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin mahupun bertanding di mana-mana DUN lain pada PRN Johor kali ini.

“Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd Izhar kini mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Solihan berkata, Mohd Izhar silap besar apabila mendakwa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamed yang keluar dari parti itu dan menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Katanya, Muhyiddin telah dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dan melaksanakan tindakan untuk kesejahteraan rakyat membendung pandemik termasuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, bagaimana Mohd Izhar melihat dan menilaikan Muhyiddin sebagai gagal selepas Tun Dr Mahathir keluar Bersatu?,” soalnya. -Malaysiapost

Tiada ulasan: