MALAYSIA POST
SERAMAI 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berusia antara 18 hingga 20 tahun layak mengundi selepas Undi18 dilaksanakan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah itu mempunyai pengaruh besar bagi mencorak keputusan pilihan raya umum akan datang.
“Justeru, KPT mempunyai peranan menyediakan pelajar IPT yang matang dan berketerampilan dalam sudut pandang politik.
“Pelajar IPT perlu diterapkan dengan pemikiran dan pemahaman yang benar tentang literatur politik negara, termasuk menyediakan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara.
“Bahkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 2019 yang membuang Seksyen 15(2)(c), pelajar sewajarnya dibimbing berpolitik di kampus sebagai praktikal sebelum ke medan masyarakat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pelancaran Buku Laporan Kajian Pembentukan DNA UiTM, di Shah Alam hari ini.
Noraini berkata, beliau melihat jalinan kerjasama antara UiTM dan SPR sebagai satu langkah proaktif UiTM sebagai perintis kepada projek KPT bagi Program Kesedaran Pendidikan Pengundi dalam kalangan mahasiswa.
“Seharusnya, program pendidikan kesedaran pengundi ini diperluaskan lagi ke IPT yang lain untuk cakupan ruang lingkup yang lebih luas.
“Malah saya percaya dengan usaha berterusan dan kerjasama yang dilaksanakan dapat memberi pendedahan dan mempersiapkan mahasiswa dalam mengetahui hak serta tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam menentukan masa hadapan negara.
“Usaha ini juga bagi mempersiapkan mereka sebagai barisan pelapis kepimpinan negara kelak,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan