HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

SPRM jalankan siasatan ke atas Maszlee selepas dapat dua aduan, nafi pegawai lakukan intimidasi

sprm
- GAMBAR: Abd Razak Aid

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan suruhanjaya itu menjalankan siatasan terhadap bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik selepas mendapat aduan daripada orang ramai.

“SPRM telah menerima dua aduan terhadap Maszlee berkenaan sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pegawainya melakukan intimidasi terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam berkenaan.

“SPRM ingin menegaskan proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mendakwa, beberapa pegawainya di Simpang Renggam disiasat SPRM yang dikatakan merupakan tindakan yang dipercayai dengan sokongannya terhadap gesaan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki disiasat.

Beliau berkata, pegawai SPRM telah pergi ke pusat khidmatnya di Simpang Renggam baru-baru ini dan menyoal pegawainya mengenai aktiviti yang dianjurkan di kawasannya.

“Pegawai SPRM jelas cuba mencari kemungkinan kesilapan yang mungkin ditemui dalam aktiviti kebajikan dan pendidikan saya di Simpang Renggam,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam.

Dalam pada itu, SPRM berkata setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut SOP dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

SPRM berkata tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat.

“Siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

“SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini,” katanya.

Sementara itu memetik laporan Utusan Malaysia, satu sumber mendedahkan bahawa Maszlee didakwa menerima rasuah daripada seorang pembekal untuk Kementerian Pendidikan, termasuk dakwaan menerima sebuah kenderaan dari syarikat di bawah kementerian.

Tiada ulasan: