HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

Peguam Negara langkaui kuasa apabila lantik Sri Ram, kata Rosmah

Rosmah Mansor berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram 
membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan 
pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor, yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berkata, Peguam Negara Idrus Harun melangkaui kuasanya dalam melantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram untuk mendakwa kes itu.

Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu berkata, surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah bertarikh 21 Mei tahun lepas, tidak termasuk kes itu.

“Ia adalah jelas bahawa Idrus Harun bertindak melangkaui kuasanya apabila telah melantik Sri Ram sebagai DPP (TPR) dalam perkara ini untuk menerajui penyiasatan kes-kes berkenaan 1MDB dan mendakwa mereka yang terlibat.

“Walaupun mahkamah berpendapat bahawa Idrus telah bertindak secara teratur sejajar dengan kuasa staturorinya maka Sri Ram masih bukan individu yang ‘fit and proper’ untuk menjalankan pendakwaan kes ini,” katanya dalam afidavit untuk menyingkirkan Sri Ram, yang dilihat oleh FMT.

Rosmah berkata, peguamnya akan berhujah lanjut berhubung perkara itu semasa pendengaran kelak.

Permohonan untuk membatalkan kelayakan Sri Ram adalah yang pertama dalam senarai apabila beberapa perkara lain dijadualkan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada 3 Feb.

Ini merupakan percubaan kedua Rosmah untuk menyingkirkan Sri Ram daripada mendakwa kesnya.

Tahun lepas, beliau gagal dalam usahanya untuk membatalkan kelayakan Sri Ram dalam perbicaraan rasuahnya yang sedang berlangsung melibatkan projek tenaga solar sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion selepas Zaini memutuskan bahawa beliau kompeten untuk mendakwa kes itu.

Zaini berkata, pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah bersifat meluas.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Zaini pada 6 Dis.

Pada 3 Feb, Zaini juga akan mendengar permohonan Rosmah – yang kedua – untuk menyingkirkannya daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Pada 14 Dis, Zaini menolak permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakannya daripada mendengar perbicaraan kerana Rosmah mendakwa beliau mungkin akan prejudis setelah mendengar perbicaraan rasuah yang dikaitkan dengan projek tenaga solar itu.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017.

Tiada ulasan: