HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

PAS terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak hadapi PRN Johor

zuhayati

Sedang kumpul data, analisis landskap politik Johor

BANGI – PAS tidak pernah menutup pintu rundingan dan akan terus konsisten untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.

Sehingga kini parti tersebut belum melakukan rundingan dengan parti politik Melayu lain dalam persiapan menghadapi PRN, tegas Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

“Hingga saat ini kita masih meneliti dengan terperinci dengan laporan yang diberikan PAS Johor.

“Kami juga sedang mengumpul data dan menganalisa landskap politik di Johor berdasarkan kepada kajian-kajian empirikal oleh para pengkaji politik yang diiktiraf,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau dalam masa sama, secara tegas menafikan dakwaan liar yang menyatakan pihaknya menolak untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam PRN.

“Ini adalah jelas sekali sebuah penipuan dan persepsi jahat yang tidak bermoral serta mencemarkan wadah demokrasi dalam negara kita khususnya dalam menghadapi PRN Johor kali ini.

“PAS menegaskan sekali lagi bahawa kami sedang memberikan penumpuan kepada pemerkasaan jentera dalaman parti bagi tujuan PRN Johor dan juga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka bakal berlaku lebih awal,” katanya.

Tegas beliau, pihaknya kini berusaha ke arah membentuk satu gagasan besar politik penyatuan ummah bersama dengan mereka yang bukan Islam serta tidak ekstrim terhadap Islam.

“Agenda PAS adalah menyatukan umat Islam bersama dengan bangsa lain yang telah menjadi tonggak serta paksi kekuatan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: