DAP dan Amanah menyindir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan PKR yang dilihat mementingkan diri apabila mahu menggunakan lambang sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan seakan menyindir Anwar dengan mengingatkan Presiden PKR itu semasa bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson lalu juga menang dengan menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) semasa berkempen dan bukan lambang PKR.
Dalam kenyataan itu, mereka berkata PH bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 memilih menggunakan logo PKR kerana ketika itu gabungan tersebut tidak didaftarkan dengan logo sendiri.
“Malah untuk kembali ke arena politik, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan logo PH untuk memenangi pilihan raya kecil Port Dickson, pada Oktober 2018,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin itu berkata pengecualian menggunakan logo itu hanya diberikan kepada parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak atas dasar status istimewa, serta kuasa autonomi negeri-negeri tersebut.
Menjangkakan cabaran sengit UMNO dan Perikatan Nasional (PRN) pada PRN Johor, kedua-duanya berpendapat penggunaan satu logo akan memudahkan pengundi melihat PH, sebagai sebuah gabungan yang padu.
“Amanah dan DAP akan terus menggunakan logo PH sebagai tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam masa hadapan, serta aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu,” katanya.
Majlis Presiden PH yang bermesyuarat semalam bersetuju untuk DAP dan Amanah menggunakan logo PH pada PRN Johor, manakala PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan