HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

PRN Johor: PAS kekal tanding di bawah payung Perikatan Nasional

 

PAS akan terus kekal bersama Bersatu dengan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dicapai dalam Muzakarah PAS Bersatu yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini.

Pada sidang media yang turut disertai Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang serta kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti sebentar tadi, beliau menjelaskan muzakarah turut bersetuju untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama pada peringkat akar umbi.

“Hasil resolusi Muzakarah PAS Bersatu selama dua hari, kita (PN) akan menyertai PRN Johor sebagai Perikatan Nasional.

“Sehubungan itu, kedua-dua parti bersetuju memperkukuhkan jalinan kerjasama sebagai satu pasukan sehingga ke peringkat jentera akar umbi,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Muhyiddin berkata PN juga akan memutuskan berhubung pengagihan kerusi untuk parti-parti komponen bertanding pada PRN Johor itu dalam tempoh sehari dua lagi.

“Yang penting juga saya nak katakan hasrat kita (PN) untuk bertanding ialah untuk mendapat sokongan dan mandat rakyat Johor. ataupun bangsa Johor bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional di peringkat negeri,” katanya.

Pada masa sama PN mengulangi peringatan terhadap sokongan gabungan itu yang diberikan kepada kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Muzakarah mempertegaskan sokongan PAS dan Bersatu dalam Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi, di atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan,” kata Presiden Bersatu itu.

Berikut adalah resolusi penuh Muzakarah PAS Bersatu yang diadakan pada 28 dan 29 Januari 2022:

Bahawasanya PAS dan BERSATU, dengan penuh kesungguhan dan iltizam ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara, telah membuat ketetapan bersama seperti berikut:

1. Mencapai persetujuan atas perkara yang disepakati, iaitu

a. Mendukung ‘prinsip bersama’ di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan, dan perpaduan yang inklusif.

b. Menuju visi dan halatuju bersama’ ke arah mengukuhkan Perikatan Nasional (PN), menolak budaya politik ekstrem, dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

2. Memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan Perpaduan Ummah dan Nasional merentasi platform bukan-politik, berteraskan nilai kepercayaan bersama (mutual trust) dan perkongsian saksama (equal partnership).

3. Melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

4. Mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan ‘undi penentu’ dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda, melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat.

5. Memperkukuhkan jalinan kerjasama PAS dan BERSATU sebagai ‘satu pasukan’ sehingga peringkat jentera akar umbi.

6. Mempertegaskan sokongan PAS dan BERSATU dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi, di atas nilai integriti, anti-rasuah dan berkebajikan.

7. Menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional.

Tiada ulasan: