HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

Dulu tuduh negara akan bankrap bawah saya, sekarang hutang RM1 trilion, sindir Najib

Najib Razak berkata, ekonomi berkembang pesat dan hutang kerajaan 
berkurang selama lapan tahun berturut-turut sebelum PH mengambil alih 
tampuk pemerintahan.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa hutang langsung kerajaan kini mencecah RM1 trilion jauh berbeza daripada keadaan ketika pentadbiran beliau menerajui negara.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, angka hutang semasa sebanyak RM1,002.9 bilion adalah peningkatan 46% daripada angka RM686.8 bilion yang dicatatkan pada 2017 sebelum kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Tahniah PH, tahniah Guan Eng, tahniah Abahkau dan tahniah Atuk!” sindirnya di Facebook.

Katanya, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, ekonomi berkembang pesat dan hutang kerajaan turun lapan tahun berturut-turut sebelum meningkat dengan pantas bawah pentadbiran PH.

“GST dimansuh, Petronas dijarah, aset negara yang memberi pulangan yang baik pula dijual secara lambak oleh mereka. Ekonomi lembab,” katanya.

“Akibatnya kadar kenaikan hutang kerajaan sangat pantas berbanding masa saya PM, iaitu tempoh PH asyik tuduh negara akan bankrap bawah saya.”

Beliau berkata, angka hutang langsung negara adalah cara konvensional untuk mengira defisit, “bukan cara dongeng yang diperkenalkan oleh kerajaan PH untuk tipu rakyat bahawa hutang Malaysia sudah cecah RM1 trilion masa saya PM”.

PH memasukkan komitmen kerajaan sebagai sebahagian daripada hutang langsung – bukan cara yang konvensional – yang dikatakan bersamaan dengan hutang langsung sehingga RM1 trilion bawah Najib.

Apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih, kerajaan melakukan sebaliknya dengan mengecualikan pinjaman asing, jangka pendek dan bank dalam pengiraan hutangnya, juga bukan cara konvensional.

Tiada ulasan: