MALAYSIA POST
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak ada kena mengena dengan Kluster Mahkamah.
Tegasnya, beliau menyatakan pendiriannya, Umno dan Barisan Nasional (BN) bersetuju agar isu Kluster Mahkamah harus diserahkan kepada mahkamah.
“Cuma, hakikatnya, Kerajaan Negeri Johor sebelum ini berdiri dengan hanya satu majoriti. Berhentilah berpura-pura. Terimalah hakikat bahawa kedudukan sebegitu adalah satu kedudukan yang sangat lemah dan tidak menentu.
“Jadi, jalan terbaik untuk mendapatkan kembali sebuah kerajaan yang kukuh, dengan mandat yang sah, adalah melalui PRN. Kita tidak boleh terus menerus mempunyai kerajaan yang terbentuk hanya dengan percaturan ahli politik yang sekali gus menafikan pilihan rakyat,” katanya dalam hantaran hari ini.
Sebelum ini, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS mendukung Perikatan Nasional (PN) dan mengajak menyertai Muafakat Nasional (MN) kerana ia adalah agenda untuk masyarakat majmuk, bukan hanya untuk menyatukan Melayu sahaja.
Menurut Mohamed Khaled, walaupun Abdul Hadi dan PAS mungkin gemar dengan pendekatan sedemikian namun ia tidak matang dan bukan menyantuni prinsip demokrasi yang jujur.
“Saya beri jaminan pada Tan Sri (Abdul Hadi), Umno-BN tidak akan cuba menumpang kehebatan dan kekuatan PAS dengan 1 juta ahli itu.
“Cuma, janganlah pula Tan Sri memarahi kami jika kami tidak mahu bekerjasama dan menunggang kehebatan dan kekuatan PAS. Yang pasti, kami doakan yang terbaik untuk PAS sebagai parti besar, hebat dan kuat dalam PRN Johor nanti,” katanya lagi.
Jelasnya, beliau belum memahami bagaimana PN dan MN adalah agenda kemajmukan dan BN yang mempunyai parti pelbagai kaum pula tidak bersifat majmuk dan sudah tidak relevan.
“Apa-apa pun, dalam keseriusan Tan Sri untuk menyatukan semua pihak di bawah kemajmukan PN dan Muafakat Nasional, saya harap jangan lupa untuk turut menjemput PAN dan DAP bersama. Barulah benar-benar majmuk,” katanya.- Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan