HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

Sokong kerjasama dengan Pas, kecam ahli keluar parti

LOMPAT dan kemudian sertai pihak lain khususnya parti lawan adalah satu daripada warna-warni dalam senario politik negara.

Ada juga yang keluar parti dan tidak menyertai mana-mana pihak dengan alasan tersendiri seperti mana yang berlaku baru-baru ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Walaupun tindakan keluar parti ini adalah hak seseorang individu dan tidak menyalahi undang-undang, akan tetapi perkara ini sudah tentu tidak disenangi ahli-ahli yang lain.

Itulah yang disuarakan Ketua-Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Utara Johor berikutan tindakan dua pemimpin mereka yang keluar parti sebelum PRN Johor bermula.

Menurut ketetapan bersama mereka, tindakan keluar parti itu dianggap sebagai tidak bermaruah selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

“Kita kutuk tindakan tidak bermaruah mereka itu walaupun ia sudah dijangka.

“Begitupun tindakan ini tidak menjejaskan perpaduan Bersatu Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Bersatu Bahagian Utara Johor juga menyokong penuh Resolusi Muzakarah Pas dan Bersatu yang membuat ketetapan untuk bersama menyertai PRN Johor atas nama PN.

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas dan Bersatu akan menyertai PRN Johor di bawah Panji PN.

Keputusan tersebut dicapai menerusi resolusi Muzakarah Pas Bersatu yang diadakan selama dua hari berakhir semalam.

Tiada ulasan: