HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

Muzakarah PAS, Bersatu pendekatan bersejarah perpaduan PN – Ronald Kiandee

AMRI

Muzakarah PAS, Bersatu pendekatan bersejarah perpaduan PN – Ronald Kiandee

PENGANJURAN muzakarah PAS dan Bersatu selama dua hari pada Jumaat dan semalam dilihat sebagai satu pencapaian politik yang bersejarah antara kedua-dua parti berkenaan, kata Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berharap muzakarah atau perbincangan itu dapat menjelaskan kekeliruan dan ketidakpastian tentang matlamat serta arah tuju gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, berdasarkan pengalaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, di peringkat kepimpinan tertinggi PAS dan Bersatu dilihat sebagai gabungan harmoni dan bergerak ke arah satu matlamat politik yang sama.

“Tetapi di bawah, di peringkat akar umbi kita melihat ada kekeliruan dan ketidakpastian tentang matlamat serta arah tuju gabungan PN dikalangan pengundi-pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia.

“Sebab itu muzakarah yang dibuat antara PAS dan Bersatu selama dua hari lalu merupakan satu pendekatan yang bersejarah dari segi perpaduan PN.

“Kita berjaya membentuk satu pendekatan bersama, satu arah perjuangan yang sama dan harapan kita agar kebersamaan ini akan dapat diterjemahkan sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya dalam program bual bicara bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, di Melaka didapati ada kekeliruan dikalangan pengundi dan ahli dengan ada yang bersama PN dan ada yang tidak pasti 100 peratus bersama, hingga menyebabkan kita tidak berjaya menjadi pilihan utama pada PRN itu

“Tetapi kita harapkan dengan adanya muzakarah atau sesi perbincangan yang telah dibuat ini tujuan, matlamat perjuangan PN lebih jelas dikalangan pengundi dan ahli di seluruh negara

“Muzakarah ini merupakan satu pencapaian politik yang bersejarah antara kedua-dua parti dan diharap akan lebih bersedia menghadapi PRN Johor dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai resolusi muzakarah itu yang dilihat ada yang agak keras terhadap parti gabungan dalam kerajaan, beliau menyifatkannya sebagai politik pasca 2018.

“Kita kena terima hakikat bahawa politik pasca 2018 ini merupakan satu politik yang dinamik kerana walaupun duduk dalam satu Kabinet terdiri daripada pelbagai parti, tetapi di luar Kabinet kita bergerak dalam arah politik yang bertentangan.

“Di Johor kita membentuk kerajaan negeri, walaupun Menteri Besar dari Umno, tetapi kerajaan itu bergantung sepenuhnya ke atas sokongan daripada parti PN.

“Dalam kerajaan negeri kita satu gabungan tetapi di luar kita bertentangan haluan politik, inilah yang saya katakan politik pasca 2018,” katanya.

Menurutnya, kedinamikan politik itu bukan sahaja berlaku dalam parti gabungan kerajaan, tetapi juga berlaku dan akan berlaku dalam gabungan parti pembangkang.

“Ini dilihat dalam situasi PKR akan menggunakan logo sendiri manakala DAP dan Amanah akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor

“ini adalah peluang bagi pengundi untuk melihat kedinamikan politik dalam menentukan gabungan kerajaan yang layak dipilih, diundi untuk membentuk kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: