Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata pengagihan kerusi antara parti komponen gabungan itu dijangka siap hujung minggu ini.
Perikatan Nasional (PN) kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata pengagihan kerusi itu dijangka siap hujung minggu ini, setelah pihaknya mendapati ada beberapa kerusi yang mempunyai pertindihan antara parti komponen dalam PN.
“Kita hampir selesai tadi, tapi ada sedikit pertindihan kepentingan (kerusi) antara parti-parti dan kita dah beritahu pasukan perundingan akan selesaikannya.
“Ia (kerusi) belum muktamad hingga disahkan oleh pemimpin PN masing-masing di peringkat pusat. Saya rasa dalam jangka minggu ini, perkara ini akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN Johor di pejabat Bersatu Pagoh hari ini.
Ditanya mengenai kerjasama PN dan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata: “Dalam politik apa-apa sahaja boleh terjadi, setakat hari ini tidak ada apa lagi…tapi kalau ada, ia datang daripada pimpinan parti dan bukan saya sahaja yang boleh buat keputusan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan