HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

PAS mungkin ‘patah kedua-dua kaki’ – Mohd Puad

MALAYSIA POST

PAS mungkin ‘patah kedua-dua kaki’ – Mohd Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berpendapat adalah lebih baik Umno bergerak solo daripada bersama Perikatan Nasional (PN) kerana tiada kejujuran politik dalam gabungan itu.

Menurutnya, langkah itu terbukti berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan Umno menolak PN adalah kerana parti Bersatu menikam Umno dari belakang dan perkara itu berlaku dalam PRN Sabah.

“PAS tahu Umno tolak PN kerana Bersatu tikam belakang Umno dari belakang. Itu berlaku di PRN Sabah. Tetapi PAS tidak peduli itu semua. PAS tidak rugi apa apa.

“Akan sampai masanya PAS akan ditikam dari belakang. Tiada kejujuran politik dalam PN. Pada Umno, lebih baik jalan terus secara solo. Umno tidak rugi. Itu terbukti di PRN Malaka,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Mohd Puad berkata demikian bagi menjawab kecaman dan tuduhan pimpinan PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengumpamakan Umno seperti ‘itik patah kaki’.

Abdul Hadi dilaporkan mendakwa Umno diselamatkan PAS selepas pilihan raya umum lalu melalui Muafakat Nasional (MN), namun mahu tinggalkan PAS selepas ‘sembuh’ dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak bermaruah dan tidak betul.

Mohd Puad mendakwa, PAS sebenarnya yang melemahkan MN bila sertai PN dan ‘main dua lawang’.

“PAS hanyut kerana nikmat jawatan bertaraf Menteri, Menteri dan kerajaan pusat yang PAS sudah lama tidak merasainya.

“Sebab itu PAS sanggup meminggirkan dua tiga orang pemimpin atasannya yang pro-MN seperti Khairuddin At Takiri, Nik Abduh dan Dr Marzuki,” katanya.

Beliau turut mengingatkan PAS, bahawa parti itu nanti yang akan menjadi ‘itik patah kaki’ jika terus bersama Bersatu.

“Mungkin patah kedua dua kaki kerana bersekongkol dengan Bersatu yang didominasi oleh ‘katak politik’.

“Ketika itu nasi sudah jadi bubur. PAS akan tenggelam dan mati lemas,” katanya.

Mohd Puad juga mengakui sukar bekerjasama dengan PAS seperti dialami pakatan yang disertai parti berkenaan.

“Susah berkawan dengan PAS. Sebab itu PAS tinggalkan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: