AGENDA DAILY
Semua parti politik tidak kira sama ada pembangkang atau di sebelah kerajaan dicadangkan merangka strategi bersama bagi menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.
Gesaan itu dilontarkan akar umbi Bersatu di 10 Bahagian dalam kawasan utara Johor sebagai tanda kesepakatan semua parti politik menolak tindakan UMNO yang tamak kuasa dan mementingkan diri tanpa mengambil kira kesusahan hidup dihadapi rakyat negeri itu.
“Kami mencadangkan agar semua pihak khususnya parti politik di negeri Johor merangka strategi ampuh bagi menggagalkan muslihat UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat semakin rakus, tamak kuasa dan gelojoh ingin mengadakan pilihan raya di negeri Johor tanpa mengambil kira kesukaran yang dialami oleh rakyat ketika masih berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19,” kata 10 Ketua Penerangan Bahagian Bersatu dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan itu hadir susulan gesaan sama yang dilontarkan oleh beberapa pemimpin blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) Johor supaya pintu rundingan dibuka dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Johor nanti.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya PH membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.
Selain itu, seorang lagi bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman juga berkata PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.
Langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang, ia ibarat “serah tengkuk” kepada UMNO dan BN.
Kedua-dua pemimpin tersebut berpandangan langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang.
Dalam pada itu, 10 Bahagian Bersatu juga menyatakan sokongan terhadap keputusan PAS dan Bersatu yang bersetuju untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan mengutuk tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti baru-baru ini.
“Kami Menyokong penuh Resolusi Muzakarah PAS-Bersatu bertarikh 28 dan 29 Januari 2022 yang membuat ketetapan akan bersama menyertai PRN Johor atas nama Perikatan Nasional.
“Kami juga mengutuk tindakan tidak bermaruah dua orang mantan ADUN Bersatu yang keluar parti selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan. Tindakan mereka ini sudah dijangka, serta tidak menjejaskan perpaduan BERSATU Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional,” kata kenyataan itu lagi.
Sabtu minggu lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
berkenan pembubaran Dewan Undangan Johor bagi membolehkan PRN diadakan
selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad
di Istana Bukit Serene, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan