HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

Saingan terkuat BN dalam PRN Johor adalah PH, bukan Bersatu – Khaled

RAMAI pemerhati politik beranggapan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi bakal menyaksikan pertembungan sekali lagi Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun begitu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula menganggap Bersatu bukanlah ancaman sebenar kepada UMNO mahu pun BN.

Sebaliknya, Mohamed Khaled merasakan saingan terkuat dalam PRN Johor kelak bakal hadir daripada Pakatan Harapan (PH).

Memetik temubual portal Free Malaysia Today, Mohamed Khaled berkata, Bersatu tidak mempunyai struktur dan mekanisme sebagai sebuah parti akar umbi.

“Tentangan dan saingan kuat yang akan kita hadapai sebenarnya bukan daripada Bersatu.

“Bersatu tidak mempunyai struktur dan mekanisme sebagai sebuah parti akar umbi walaupun Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin datang daripada UMNO.

“Mungkin atas sebab itu dia umum tak menawarkan diri (bertanding) dalam PRN Johor.

“Pada UMNO-BN, kemungkinan saingan kita yang paling kuat datang daripada PH,” katanya dalam wawancara tersebut.

Ketika ditanya sama ada PRN Johor diadakan atas desakan beberapa pemimpin UMNO yang digelar ‘kluster mahkamah’, Mohamed Khaled ketawa kecil.

Menurut beliau, pelaksanaan PRN Johor tidak ada kena mengena dengan apa-apa kluster dalam arena politik negara ketika ini.

Beliau berkata, PRN Johor ini terpaksa diadakan kerana secara kebetulan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja.

“Pada masa sama, soal yang harus kita faham adalah soal keabsahan kerana kerajaan yang ada sekarang wujud melalui percaturan politik, ia tak ada mandat.

“Kita tak akan kerjasama dengan Bersatu, seperti diusulkan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Maka, keberadaan mereka dalam kerajaan adalah satu tindakan kita meneruskan sikap berpura-pura.

“Kita kena berhenti berpura-pura dengan hanya satu kerusi dan berpura-pura untuk terus kekal dengan terpaksa bergantung kepada ihsan PH,” jelas beliau.

Tiada ulasan: