HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

PRN Johor: AMK mahu enam kerusi, sedia bertanding di tempat sukar - Akmal Nasir

Firdaus Azil
PRN Johor: AMK mahu enam kerusi, sedia bertanding di tempat sukar - Akmal Nasir
Akmal Nasir (kanan) berkata, AMK sedia bertanding di tempat yang sukar, namun, mengharapkan agar diberikan kawasan yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi bagi mewujudkan keseimbangan politik di negeri ini. - Gambar Astro AWANI
 
JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap agar pucuk pimpinan parti dapat meletakkan enam calon dalam kalangan mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
 
Ketuanya, Akmal Nasir berkata, jumlah itu bersamaan dengan 30 peratus daripada keseluruhan 20 kerusi yang diperuntukan untuk Keadilan.
 
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, AMK sedia bertanding di tempat yang sukar, namun, mengharapkan agar diberikan kawasan yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi bagi mewujudkan keseimbangan politik di negeri ini. 
 
“Kami telah mengenal pasti kerusi yang wajar diletakkan calon anak muda, tapi bagi kami, ruang itu elok dibincangkan, anak muda bersedia bertanding di kerusi agak sukar, bukan tradisinya.
 
“Tapi pada masa sama, niat kita bukan hanya sekadar bertanding, we want to fight in this election. Jadi ada keseimbangan, kawasan, kedudukan, supaya anak muda ini diberikan peranan, bukan sekadar jadi calon, tapi berpotensi jadi wakil rakyat,” katanya lagi.
 
Beliau berkata demikian selepas selesai mempengerusikan mesyuarat bersama AMK Johor dalam persiapan menghadapi PRN kali ini.
 
Baru-baru ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk Keadilan dan Amanah, manakala 16 lagi untuk DAP.
 
Sekiranya rundingan antara PH dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjalan lancar, difahamkan pemberian kerusi akan mengikut keputusan rundingan antara Muda dan parti komponen.
 
Mengulas mengenai pertindihan kerusi antara komponen, Akmal berkata, apa yang penting ialah keputusan dibuat lebih awal, bagi memberi ruang masa untuk rundingan diteruskan.
 
“Satu pengajaran kita buat keputusan jauh lebih awal, sebarang dispute (pertikaian) dapat diselesaikan… dapat diatasi dengan lebih awal.
 
“Bagi saya, Johor punya persiapan untuk pilihan raya, jauh lebih baik dari segi komitmen untuk bergerak lebih awal. Bila kami bermesyuarat, kita lihat bagaimana peluang dapat dimanfaatkan anak muda,” katanya lagi.

Tiada ulasan: