MALAYSIA POST
PIMPINAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan semalam membuat kunjungan hormat terhadap pemimpin veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Pertemuan di kediaman Tengku Razaleigh atau Ku Li di ibu negara itu turut dihadiri beberapa pemimpin pembangkang dari Kelantan.
Menurut satu hantaran di Facebook MUDA, mesyuarat itu antara lain bertujuan menggerakkan usaha untuk membebaskan Kelantan yang ditadbir PAS sejak 1990.
“Alhamdulillah, hari ini (semalam) gerombolan besar pemegang taruh politik pembangkang di Kelantan bermesyuarat dalam usaha membentuk satu gerak tadbir bersepadu.
“Ini dalam memastikan Kelantan dibebaskan dari golongan yang memperbodoh rakyat selama puluhan tahun.
“Jutaan terima kasih pada Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang sudah puluhan tahun, jelas mahukan suatu yang baik di Kelantan,” kata hantaran itu.
Menurut MUDA Kelantan, mereka komited dan selari pandangan dengan Tengku Razaleigh mahu melihat negeri itu maju dan terjaga.
“Harimau pun terjaga. Anak Kelantan deserves better. Dan kami memanggil anda semua, ayuh, kita bebaskan Kelantan,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan