HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

Kabinet takut ambil tindakan terhadap Azam Baki – Kit Siang

MALAYSIA POST

Kabinet takut ambil tindakan terhadap Azam Baki – Kit Siang

AHLI Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, menyifatkan Kabinet sebagai lemah dan tidak berani mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Veteran DAP itu, berpendapat tindakan perlu diambil susulan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diumumkan Transparency International (TI-M), kelmarin.

“Jika ini bukan dipanggil keburukan, mungkin kita ada pemahaman yang berlainan tentang apa itu ‘keburukan’.

“Di negara yang mempunyai integriti dan akauntabiliti, Ketua Pesuruhjaya SPRM sudah tentu akan menyerahkan peletakan jawatannya atas laporan TI CPI 2020/2021 yang begitu buruk, namun ia tidak berlaku di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia dilanda kelumpuhan kerajaan dan parlimen akibat skandal Azam apabila ketua pegawai anti-rasuah negara itu gagal menjadi contoh integriti, kejujuran dan akauntabiliti berhubung dakwaan pegangan saham yang dihadapinya.

Kit Siang mendakwa, Malaysia kini kembali terjerumus ke dalam kancah rasuah seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan perkara buruk bakal berlaku akibat daripada skandal Azam dan kemerosotan sistem integriti dalam kehidupan awam.

“Rakyat Malaysia berhak bertanya sama ada Malaysia akan mengatasi China dalam CPI sebagaimana Malaysia telah mengatasi China dalam jumlah kumulatif kes Covid-19.

“Satu pencapaian yang sepatutnya mustahil memandangkan China telah populasi yang 40 kali lebih besar daripada Malaysia,” katanya.

Menurutnya, daripada rekod TI CPI pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari 2010-2018, berkemungkinan China akan mengatasi Malaysia dalam siri TI CPI sebelum 2030.

Beliau berkata, senario menyedihkan juga mungkin berlaku dengan Indonesia mengatasi Malaysia sebelum 2030 jika Malaysia terus mundur dalam usaha pencegahan rasuah manakala Indonesia terus membuat kemajuan dalam bidang ini.

“Persoalan rasuah sepatutnya menjadi topik penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor – adakah Malaysia akan menjadi salah satu daripada 30 negara teratas dunia dalam soal integriti dan akauntabiliti, atau akan kembali menjadi kleptokrasi dan bahan ketawa dunia.

“Akhbar harian terkemuka Hong Kong telah mengemukakan soalan: “Dalam pilihan raya Johor, adakah Umno Malaysia mencari kestabilan atau mahu mencari cara untuk membebaskan Najib?”

“Ini adalah persoalan yang perlu dijawab oleh pengundi Johor,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: