Walaupun PKR menggunakan lambang sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyifatkan dirinya sebagai gagal menyatukan semua parti pembangkang untuk bekerjasama antara satu sama lain.
Presiden PKR itu sebaliknya terus memberikan alasan bagi menunjukkan keputusan yang mementingkan partinya sendiri adalah tepat dan relevan, ia walaupun disindir pemimpin DAP dan Parti Amanah sebelum ini kerana keras kepala tidak mahu menggunakan lambang rasmi Pakatan Harapan (PH).
“Penggunaan logo ini sudah dipraktikkan sebelum ini seperti mana pada PRN Sabah dan Sarawak namun pada PRN Melaka kita kembali menggunakan satu logo PH.
“Tapi ia tidak jejaskan hubungan dan kepemimpinan PH masih terus mantap. Jadi ada orang cuba hendak gunakan isu logo ini sebab tertentu sedangkan dasar sama, manifesto sama.
“Sebab apa logo lain kerana pernah berlaku, PRU 2013 dan PRU 2018, semua pakai PKR.
“Kita guna kerana sentimen terutama di desa, orang Melayu dan itu pandangan kita, jadi saya fikir ia tidak ada masalah dan mereka hanya cuba besar-besarkan perkara ini,” katanya dipetik laporan media pada satu sesi dialog Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini.
Terdahulu, susulan keputusan PKR mahu menggunakan lambang sendiri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu menyindir Anwar kemenangannya semasa bertanding di Port Dickson sebelum ini juga dengan menggunakan lambang PH bukan PKR.
Guan Eng dan Mohamad difahamkan kurang senang dengan keputusan Anwar yang berkeras untuk menggunakan logo mereka sendiri dan bukan PH.
Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan menolak sebarang bentuk rundingan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor.
Anwar berkata sebarang rundingn tersebut perlu melibatkan DAP juga.
“Sekarang kita dengan AMANAH dan UPKO di Sabah, tapi jika mereka (PN) hendak bincang secara berasingan dengan PKR atau DAP, kita tiada halangan.
“Tapi untuk memberikan syarat (kerjasama) tanpa DAP atau tanpa PKR, sukar diterima,” katanya lagi,
Terdahulu, bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Datuk Mazlan Aliman, menggesa agar PH bekerjasama dengan Bersatu dan PAS pada PRN Johor bagi berdepan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Mazlan berkata, jika kerjasama itu mampu direalisasikan, PH berupaya membentuk pakatan terbesar sekali gus memberi cabaran buat BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan