AMRI
KETUA Bersatu Bahagian Labis, Ahmad Humaizi Uzir menyifatkan tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor keluar dari Bersatu adalah tindakan sia-sia.
Beliau berkata, tindakan itu sekali gus memalukan diri serta penyokong Bersatu.
“Tindakan itu tidak sesekali meninggalkan sebarang kesan terhadap Bersatu, sama ada di peringkat negeri mahupun bahagian serta keseluruhan penyokong dan pendokong Parti Perikatan Nasional (PN).
“Malah tidak juga kepada pengundi di negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Humaizi juga melihat tindakan keluar parti selepas pembubaran DUN sebagai politik dendam dan penakut.
Jelas beliau, individu berkenaan mungkin sudah tahu dirinya tidak dicalonkan atas kegagalan menunjukkan prestasi yang bagus sebagai Adun dan Exco Kerajaan Johor.
“Sebagai ahli parti, saya menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penyokong dan pendukung kedua-dua bekas Adun dan Exco Kerajaan Johor ini.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan mencabar mereka bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya yakin pengundi akan mengundi mereka semula,” ujarnya.
Terdahulu, Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keputusan meninggalkan Bersatu atas alasan hilang kepercayaan kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tindakan Mohd Izhar itu menyusul selepas Ketua Bahagian Bersatu
Tebrau Mazlan Bujang mengumumkan dia dan 23 ahli bahagian lain keluar
Bersatu serta-merta. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan