HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

Semangat kekitaan, kebersamaan harus terus disemarakkan – Anwar Ibrahim

MALAYSIA POST

Semangat kekitaan, kebersamaan harus terus disemarakkan – Anwar Ibrahim

RAKYAT Malaysia diseru supaya terus menyemarakkan semangat kekitaan serta kebersamaan antara kaum yang diamalkan selama ini sempena sambutan Tahun Baru Cina, 2022.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rakyat perlu elak daripada terus dibuai serta terperangkap dalam naratif yang memecah belah kerana yang akan menanggung kesan adalah rakyat, bukan penguasa.

“Teman-teman kita dari kaum Cina akan meraikan hari besar lagi bermakna yakni Tahun Baru Cina yang akan jatuh pada hari esok tanggal 1 Februari.

“Mengikut tradisi astrologi Cina, tahun ini adalah tahun harimau yang membawa maksud berani, amanah serta pemurah,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina yang dikongsikan di Facebooknya, hari ini.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, perayaan-perayaan besar ini adalah kesempatan bagi semua untuk belajar dan saling kenal antara satu dengan yang lain.

“Elemen kerukunan dan toleransi adalah pengikat yang nyata dalam membawa negara ini ke depan.

“Lantaran itu, semangat kekitaan serta kebersamaan antara kaum mesti terus disemarakkan. Jangan lagi kita dibuai dan terperangkap dalam naratif yang memecah belah kerana yang akan menanggung kesan adalah rakyat, bukan penguasa.

“Sifat amanah juga penting tatkala kita membicarakan soal rasuah dan kebejatan di negara ini hari ini,” katanya.

Beliau berkata, mana mungkin negara ini melonjak sekiranya aspek menjunjung tatakelola yang baik masih dipandang ringan dan memerangi rasuah bukan hanya dengan slogan dan retorik, tapi mesti dengan sikap dan perbuatan.

“Semoga tahun harimau ini membawa kebaikan serta anjakan baharu kepada negara. Dan semoga ekonomi kita kembali bangkit dan mengaum.

“Mewakili keluarga majmuk PKR, saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2022 kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia,” ucapnya. – Malaysiapost.

Tiada ulasan: