HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

Henti abai masyarakat Cina – Guan Eng

MALAYSIA POST

Henti abai masyarakat Cina – Guan Eng

DAP berharap kerajaan persekutuan akan berhenti mengabai dan tidak memperdulikan aspirasi masyarakat Cina negara ini, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu, berkata sebagai penyumbang besar kepada pendapatan negara, masyarakat Cina mahukan kerajaan untuk menghormati kemajmukan, memberi ganjaran untuk kerajinan dan berlaku adil.

Menurutnya, perkara itu mesti dilakukan dengan memastikan sekolah serta orang miskin dibantu tanpa kira kaum dan agama.

Beliau mendakwa, dua tahun kebelakangan ini merupakan masa yang amat mencabarkan kerana kegagalan kerajaan bertindak balas terhadap bencana banjir dan pandemik Covid-19.

Katanya, selain itu kerajaan juga dilihat gagal dengan pelaksanaan ‘total lockdown’ bersiri, ketidakmampuan memulihkan ekonomi dari kemelesetan, inflasi dan kenaikan harga makanan, tarif elektrik yang lebih tinggi untuk sektor perniagaan.

“Kegagalan kerajaan memberi kesan yang amat besar, iaitu hampir 32,000 nyawa terkorban kerana Covid-19, kes jangkitan mencecah 2.9 juta dan kerugian ekonomi sebanyak RM500 bilion.

“Manakala dalam bencana banjir baru-baru ini, 55 nyawa telah terkorban dan berbillion-bilion ringgit telah hilang,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022, yang dikongsikan di Facebooknya, hari ini.

Guan Eng berkata, walaupun tanpa kepimpinan kerajaan dan dalam keadaan urus tadbir yang lemah, DAP mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana mampu bergembleng tenaga sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Menurutnya, rakyat Malaysia mampu menjaga diri dan memberi bantuan kepada satu sama lain bagi mengatasi musibah yang berlaku.

“Usaha sebegini tidak dibantu oleh mereka yang yang memainkan sentimen perkauman dan ekstremisme untuk menutup kegagalan mereka sendiri dalam pengurusan krisis.

“Tindakan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang yang sudi membantu satu sama lain telah memberi kita harapan bahawa ada masa depan untuk semua orang di negara kita.

“Daya tahan serta semangat masyarakat Cina yang telah menyumbang masa, wang ringgit dan usaha sepanjang krisis, menunjukkan patriotisme mereka dan cinta mereka kepada Malaysia serta rakyat negara ini,” katanya.

Beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia menyambut Tahun Harimau ini dengan deraman harimau mengaum untuk tahun baru yang lebih makmur.

“Dan dipenuhi optimisme yang cermat bahawa semangat daya tahan kendiri akan memberi ganjaran kepada mereka yang rajin dan jujur.

“Semoga semua kekal sihat, cerdas dan selamat,” ucapnya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: