MALAYSIA POST
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan tindakan bekas Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang meletak jawatan dan keluar parti sebagai bermaruah serta beradab.
Shahrir berkata, Mazlan meninggalkan Bersatu selepas beliau sudah tidak lagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa susulan pembubaran DUN Johor.
“Lagi pun, Mazlan tinggalkan PPBM (Bersatu) selepas dia dah tak jadi YB kerana DUN dah dibubar pun. Kan beradab itu. Bermaruah juga.
“Bermaruah kerana Mazlan tak tinggalkan parti dengan kerusinya sekali macam katak-katak politik yang paling ramai dalam Bersatu sekarang. Mudahlah Bersatu Tebrau cari calon baru,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru mempersoalkan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa ‘naik marah’ dengan tindakan Mazlan.
“Walaupun itu orang Bersatu, kenapalah Abah (Muhyiddin) naik marah bila Mazlan Bujang tinggalkan parti.
“Kalau Abah (Muhyiddin) betul-betul layan macam anak, takkan Mazlan cabut dan tinggalkan Bersatu,” katanya.
Kelmarin, Mazlan meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Mazlan yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan