HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

UMNO belum siap sedia kah untuk majlis talkin kerajaan Ismail Sabri?


Kluster mahkamah kawal pentadbiran Kerajaan Malaysia pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar Agenda Daily

Menjadi ‘janda’ dan ‘bacaan talkin’ berkumandang di mulut pemimpin UMNO susulan keputusan PAS untuk terus mengetepikan parti yang dicop ‘parti rasuah’ itu, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Keputusan PAS untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) – gabungan baharu politik yang turut disertai beberapa parti lain – ditangisi UMNO, sehingga mula membaca talkin untuk Muafakat Nasional (MN), sebuah gabungan perpaduan bukan politik.

Untuk rekod, Agenda Daily hari ini menyiarkan berita bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ yang boleh dibaca di sini.

Susulan itu, Agenda Daily menerima banyak pertanyaan berhubung status sokongan PN kepada Ismail Sabri. Agenda Daily juga menerima beberapa maklumat terbaharu berkaitan perkara itu.

Berdasarkan maklumat yang diterima dan ‘situasi terkini’ di Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya, kemungkinan ada ‘berita besar’ yang akan berlaku sedikit masa lagi.

Bersesuaian dengan maklumat itu berita terbaharu ini diberi tajuk ‘UMNO belum siap sedia kah untuk majlis talkin kerajaan Ismail Sabri?’

Untuk rekod, gerakan politik tanah air kini mempunyai tiga gabungan terbesar iaitu PN, Barisan Nasional (BN), dan Pakatan Harapan (PH). Ketiga-tiganya pernah mengetuai pentadbiran negara.

Paling lama mentadbir Malaysia ialah BN yang didominasi UMNO sebelum parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Kekalahan itu membongkar banyak rahsia dan penyelewengan yang dilakukan pemimpin UMNO, sementara beberapa pemimpinnya diheret ke mahkamah atas tuduhan jenayah, termasuk rasuah.

Puluhan pertuduhan jenayah terhadap pemimpin UMNO menunjukkan rupa-rupanya itulah kerja mereka apabila beria-ia untuk menang pilihan raya – dapat mengumpul berjuta-juta ringgit dan mampu pula menyembunyikan rahsia penyelewengan yang dilakukan.

Isu berhubung keputusan PAS untuk kekal bersama Bersatu di dalam PN dilihat oleh pemimpin UMNO sebagai menolak mereka. Ini kerana UMNO menganggap hubungan di dalam MN adalah kerjasama politik, sedangkan gabungan itu untuk perpaduan ummah, dan MN pula tidak pernah didaftar sebagai gabungan politik.

Kesilapan UMNO kerana menganggap MN adalah kerjasama politik dapat dilihat apabila beberapa pemimpinnya mengulas mengenai keputusan PAS kekal bersama Bersatu dan PN.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed semalam melahirkan rasa gembira dengan keputusan PAS kekal bersama PN, sambil berkata keputusan itu adalah talkin buat MN.

Nur Jazlan menuduh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menguburkan MN apabila tetap memilih untuk bersama PN menghadapi PRN Johor selain mengugut menjatuhkan Kerajaan Pusat, pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara, Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan pula berkata keputusan PAS itu seolah-olah mahu menamatkan kerjasama menerusi MN apabila berterusan memilih Bersatu dan PN.

“Kelihatan seperti mereka yang ingin memuktamadkan MN, dalam lain kata bukan kita yang mahu tetapi sebelah mereka.

“Sudah kita faham mereka mahu berlawan seperti di PRN Melaka. Sebelum ini kita tidakkah kata kerjasama MN sudah muktamad, tapi apabila semalam PAS bersama Bersatu, saya tidak nampak ruang apa-apalah,” katanya.

Manakala, Naib Presiden UMNO Khaled Nordin pula berkata parti itu tidak mahu menjadi janda kepada PAS.

Menurutnya UMNO tidak rela menjalin hubungan dengan parti yang berubah keputusan dan pendirian mengikut musim.

Tetapi, mereka lupa bahawa PAS rela bekerjasama dengan parti yang dicop sebagai ‘parti berimej rasuah’ oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad – seorang pakar undang-undang yang tidak menganggotai mana-mana parti politik.

Pemimpin UMNO sekarang bertindak sewenang-wenangnya dengan harapan PN menarik sokongan terhadap Ismail Sabri, sekali gus bagi mereka PRU15 akan diadakan.

Sedangkan mereka lupa bahawa di dalam politik apa sahaja boleh terjadi, hatta kerjasama antara PN dan Pakatan Harapan (PH) juga boleh berlaku, untuk membentuk kerajaan baharu tanpa melalui pilihan raya.

Sejarah telah membuktikan bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menjalin kerjasama dengan parti yang ditentangnya habis-habisan dahulu, demi menyelamatkan negara dan rakyat daripada kleptokrasi UMNO.

Tiada ulasan: