HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

‘Ramai kurang senang dengan MN’ – Khairuddin

MALAYSIA POST

‘Ramai kurang senang dengan MN’ – Khairuddin

AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, memang ada pihak yang kurang mesra dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) sejak awal lagi.

Justeru, bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS itu berkata, tiada yang pelik sekiranya ada pihak kini cuba membakar ‘jambatan’ MN.

Beliau berkata, jumlah yang ‘kurang mesra’ terhadap penubuhan MN itu juga ramai membabitkan kedua-dua belah parti iaitu Umno dan PAS.

“Ada yang kurang mesra Muafakat Nasional daripada awal lagi. Kalau sekarang ada yang membakar jambatan tiada yang pelik.

“Tidak sedikit yang sebegini daripada kedua belah pihak. Namun, ia tidak menghalang untuk kita terus memperjuangkan perpaduan umat,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu berkata, sekiranya PAS dan Umno gagal untuk bersatu pada platform politik berpilihanraya namun kedua-dua parti itu perlu bertanggungjawab terhadap penyatuan ummah.

“Kita masih terus bertanggungjawab menjaga muafakat umat untuk pelbagai lagi kepentingan bersama dari sudut agama, ekonomi, sosial dan pendidikan demi kebaikan rakyat.

“Budaya Politik Matang Sejahtera masih menjadi sebahagian dasar PAS dalam membawa politik dakwah.

“Usahlah serang menyerang. Ambillah politik damai menghormati pilihan masing-masing. Teruskan berdoa yang terbaik untuk umat,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta PAS berhenti memalukan diri sendiri dengan terus menagih simpati dan seperti ‘gila talak’ untuk bekerjasama dengan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Nur Jazlan berkata, perkara itu hanya menunjukkan PAS seperti terhegeh-hegeh selain menyifatkan parti itu sudah hilang arah selepas mempunyai dua ‘suami’ dalam perkahwinan berbeza.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin menyatakan masih ada masa lagi untuk parti itu dan Umno mengadakan rundingan bekerjasama pada PRN Johor. – Malaysiapost

Tiada ulasan: