HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

‘Jangan jadi duri dalam daging’ – Zahid

MALAYSIA POST

‘Jangan jadi duri dalam daging’ – Zahid

UMNO sebagai sebuah parti harus rasional menjaga kepentingan akar umbi berbanding menjaga kepentingan kelompok kecil yang kepompong pemikirannya terlalu jumud untuk agenda tersendiri.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau meminta kelompok itu tidak menjadi ‘duri dalam daging’ dalam tempoh Umno sedang berusaha kembali bangkit .

“Saya perlu menekankan ayat sebegitu supaya fakta meresap ke dalam fikiran dan sanubari mereka-mereka yang berkenaan sekali gus berhenti daripada mencetuskan polemik yang tidak memanfaatkan Umno dan ahlinya.

“Nasihat saya jika tidak berupaya jadi garam, jangan pula menjadi langau. Janganlah kita menjadi duri dalam daging semasa Umno sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak.

“Perkukuhkan, perkasakan, perhebatkan Umno dengan kekuatan kita sendiri,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebelum ini beliau menjelaskan bahawa hanya enam daripada 190 bahagian Umno di seluruh negara mengemukakan usul supaya pemilihan parti diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bukan niat untuk membidas pihak yang mendakwa konon 96 bahagian Umno mahu pemilihan parti terlebih dahulu sebelum PRU15, namun itulah kebenarannya dan saya wajib menyatakan kebenaran apabila ditanyakan tentang hal tersebut.

“Seperti diperjelaskan saya tidak tahu bagaimana pihak yang membuat dakwaan itu mendapat angka 96, namun laporan yang saya terima daripada bahagian-bahagian Umno adalah yang rasmi dan sahih,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebagai Presiden Umno, beliau tidak boleh membuat kesimpulan hanya bersandarkan ‘hearsay’ kerana perkara itu melibatkan kepentingan dan kehendak majoriti 3.3 juta ahli Umno di seluruh negara.

Ahmad Zahid menerusi sebuah wawancara Jumaat lalu memaklumkan, hanya enam daripada 190 bahagian Umno memilih untuk mengadakan pemilihan parti sebelum PRU15.

Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan laporan dihantar Umno bahagian kepada ibu pejabat parti, di Kuala Lumpur.

“Kita kena rasional dan melihat kepada permintaan majoriti di akar umbi,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: