HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

PRN Johor: Rancang strategi ampuh bagi halang kerakusan, tamak kuasa UMNO - Pemimpin Bersatu

Ridauddin Daud
PRN Johor: Rancang strategi ampuh bagi halang kerakusan, tamak kuasa UMNO - Pemimpin Bersatu
Semua ketua penerangan yang mengeluarkan kenyataan itu adalah dari Bahagian Pagoh, Ledang, Labis, Muar, Bakri, Batu Pahat, Sembrong, Segamat, Sri Gading dan Air Hitam. - Gambar hiasan
 
KUALA LUMPUR: Seramai 10 ketua penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian di Johor tampil menyokong penuh Resolusi Muzakarah Pas - Bersatu untuk bertanding atas nama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
 
Mereka juga sebulat suara mencadangkan semua parti politik di Johor merangka strategi ampuh bagi menggagalkan 'muslihat' UMNO dan Barisan Nasional (BN).
 
Dakwa mereka, gabungan itu dilihat semakin rakus, tamak kuasa dan gelojoh ingin mengadakan pilihan raya tanpa mengambil kira kesukaran dialami rakyat yang ketika ini masih berhadapan ancaman COVID-19.

Dalam kenyataan bersama pada Ahad, semua mereka turut mengutuk tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang keluar parti baru-baru ini.
 
“Tindakan mereka ini sudah dijangka, serta tidak menjejaskan perpaduan Bersatu Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional,” menurut kenyataan tersebut.
 
Semua ketua penerangan yang mengeluarkan kenyataan itu adalah dari Bersatu Bahagian Pagoh, Ledang, Labis, Muar, Bakri, Batu Pahat, Sembrong, Segamat, Sri Gading dan Air Hitam.
 
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu atas alasan hilang kepercayaan kepada presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Keputusan itu hadir dua hari selepas Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang melakukan tindakan sama dengan meninggalkan parti.

Tindakan itu mendapat respons Muhyiddin yang menegaskan tindakan Mazlan itu tidak menjejaskan Bersatu dalam menghadapi PRN Johor.
 
Terdahulu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad tidak mahu kerajaan negeri terus bergerak atas ihsan pembangkang seperti yang terjadi ketika ini.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata sebagai contoh, beberapa rundingan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat berjalan kerana majoriti tipis satu kerusi, selain faktor Speaker daripada parti lawan.

Tiada ulasan: