Batu Pahat: Kementerian Komunikasi dan Multimedia KKMM) mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuat semakan tahap kelajuan dan liputan internet menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian juga mengarahkan SKMM bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi tujuan itu kerana akan berlaku peningkatan pengguna data internet pada PRN itu nanti.
"Akan ada kawasan yang mana markas parti didirikan dan di situ penggunaan data (internet) tinggi dan boleh menyebabkan capaian internet terganggu.
"Sebagai langkah penyelesaian peningkatan penggunaan data internet ketika perjalanan pilihan raya berkenaan, terutama bagi melicinkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang perlu menggunakan banyak data dan kemudahan internet, langkah itu akan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir di Dewan Komuniti Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, pusat operasi SPR dan markas parti politik yang bertanding akan diberi keutamaan untuk melakukan penggalak dengan memasang alat pemancar internet bagi meningkatkan capaian internet secara sementara.
"Tetapi secara kekal, Johor adalah negeri yang diberi keutamaan di bawah Program Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Point of Presence (PoP) dan kita akan lancarkan fasa kedua, begitu juga liputan 5G.
"Bagi alat pemancar internet berkenaan akan dibekalkan syarikat telekomunikasi dengan kerjasama SKMM," katanya.
Katanya, kaedah berkempen pada PRN Johor kali ini akan digunakan sama seperti PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini.
"Kita sudah ada garis panduan berdasarkan pengalaman di dua PRN sebelum ini iaitu di Melaka dan Sarawak, nampaknya ia berjalan dengan baik dan banyak membantu calon yang bertanding," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan