HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

PAS-BERSATU setuju bertanding PRN Johor sebagai PN

HARAKAH DAILY

Tegaskan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat

SHAH ALAM: PAS dan BERSATU telah memutuskan akan bertanding pada PRN Johor sebagai gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapat mandat rakyat negeri itu bagi membentuk kerajaan di peringkat negeri.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyertaan gabungan itu akan melibatkan bersama parti-parti komponen PN yang lain di mana agihan kerusi akan diputuskan dalam beberapa hari lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas Muzakarah PAS-BERSATU di Hotel Glenmarie, di sini sejak semalam dan berakhir tengah hari tadi.

Beritahunya juga, PN akan memperhalusi gabungan calon berpengalaman termasuk anak muda dan wanita di mana negeri Johor disifatkannya memiliki ramai tokoh berkelayakan yang boleh dicalonkan.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, muzakarah tersebut telah membincang dan mengupasmengupas banyak perkara menyentuh kepentingan politik dan lain-lain lagi dihadiri Presiden, Timbalan, Naib-naib dan Setiausaha Agung serta Pemuda dan Wanita kedua-dua parti.

“Bhawasanya PAS dan BERSATU dengan penuh kesungguhan dan iltizam ke arah mewujudkan ketasbikan politik dalam negara telah membuat keputusan bersama iaitu mencapai persetujuan dalam perkara disepakati kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif. 

“Mencapai visi dan hala tuju bersama ke arah mengukuhkan PN, menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara. Menghalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional.

“(Yakni dengan) merentasi platform bukan politik berteraskan nilai kepercayaan bersama dan perkongsian saksama,” ujarnya membacakan resolusi daripada muzakarah selama dua hari tersebut.

Resolusi itu turut melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

Muzakarah itu juga ujarnya, akan mengambil daya usaha melonjakkan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat. 

“Kelima, memperkukuh jalinan kerjasama PAS-BERSATU sebagai satu pasukan hingga peringkat jentera akar umbi.

“Keenam, mempertegaskan sokongan PAS dan BERSATU kepada Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan mesti dirundingi di atas nilai integriti, anti rasuah dan berkebajikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: