HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

Anak sulung Osman Sapian bertanding PRN Johor

HASNURUL MOHAMED

Berusia 47 tahun, Nornekman merupakan anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia Disember tahun lepas.

Nornekman berkata, meskipun bertanding atas tiket parti politik yang berbeza dengan arwah bapanya, itu bukan penghalang bagi beliau untuk meneruskan legasi arwah menabur bakti kepada masyarakat.

“Saya memang bersedia untuk bertanding dan jika boleh, mahu menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

“Sebabnya, penduduk di situ amat dekat di hati kami sekeluarga termasuk saya sendiri sepanjang tiga penggal arwah ayah menjadi wakil rakyat di situ,” jelas Nornekman.

Bagaimanapun, kata Nornekman, beliau tetap akan akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti melibatkan soal pencalonan dalam PRN Johor.

Allahyarham Osman, bekas ADUN Kempas yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam meninggal dunia di rumah anaknya di Kuala Lumpur pada 21 Disember 2021.

Mengulas mengenai Johor sebagai medan pertama Pejuang bertanding, Nornekman berkata, parti itu mahu menghadiahkan kemenangan PRN Johor kepada pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain berharap kesihatan beliau beransur pulih.

“Bagaimanapun, apa yang lebih utama adalah Tun Mahathir menjaga kesihatan diri ketika ini.

“Jika beliau tidak dapat turun padang secara fizikal sekalipun, beliau masih boleh membantu kempen melalui pelbagai platform lain termasuklah menggunakan media sosial,” katanya.

Sabtu lepas, Ketua Pejuang Johor Saharuddin Mohd Salleh dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding secara sendirian dengan meletakkan 42 calon pada PRN Johor. – SM

Tiada ulasan: