HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

Mazlan keluar parti, tidak beri kesan Bersatu Tebrau – Srikandi

MALAYSIA POST

Mazlan keluar parti, tidak beri kesan Bersatu Tebrau – Srikandi

KEPUTUSAN Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar parti tidak melemahkan semangat juang sayap Srikandi bahagian itu.

Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tebrau, Zeti Zanariah Masiran, berkata pihaknya tetap fokus untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Kami tetap meneruskan perjuangan parti dan akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan DUN Puteri Wangsa yang beliau wakili sebelum ini.

“Srikandi Bahagian Tebrau tetap setia kepada parti dan berdiri teguh di belakang Presiden, Tan Sri Muhyiaddin Yassin yang juga Pengerusi Perhubungan Neger Johor,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebagai sayap parti, Srikandi Bersatu tidak sesekali berkompromi dengan individu yang hanya berjuang atas agenda peribadi melebihi perjuangan parti.

“Kami akan tetap dengan perjuangan asal Bersatu untuk melawan korupsi dan kleptokrat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya menyeru semua ahli Bersatu Bahagian Tebrau di semua peringkat sama-sama bekerja dan mempersiapkan jentera pilihan raya di setiap cawangan, lokaliti dan Pusat Daerah Mengundi masing-masing.

“Persiapan itu penting bagi memenangkan parti dalam PRN Johor yang akan tiba bila-bila masa daripada sekarang,” katanya.

Kelmarin, Mazlan Bujang meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras. – Malaysiapost

Tiada ulasan: