HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

'Kami di Kedah, baik-baik sahaja' - Sanusi

Datuk Nor Sabrina Mohd Noor (kiri) dan Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP
Datuk Nor Sabrina Mohd Noor (kiri) dan Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor, menafikan kerajaan negeri pimpinannya kini goyah, susulan dakwaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO, akan menarik sokongan.

Beliau berkata, pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa dan tiada ADUN memaklumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri ketika ini.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai dakwaan ada ADUN menarik sokongan apabila dihubungi media, namun menyifatkan sekadar khabar angin yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab sahaja.

"Alhamdulillah Kedah baik. Memang tidak ada isu di Kedah, kita aman ketika ini. Kita tidak ada buat orang marah," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau sedia berbincang dengan mana-mana pihak pada bila-bila masa bagi membincangkan sebarang isu yang timbul berkaitan negeri.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pos Aviation dan KLIA College.

Semalam, tular dakwaan di media sosial kononnya dua ADUN UMNO dan dua ADUN Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan keluar kerajaan negeri menyebabkan kemungkinan kerajaan negeri goyah.

Bagaimanapun, semakan terkini mendapati hantaran itu dipercayai sudah dipadamkan pemilik akaun terbabit, namun tangkap layar yang dibuat pengguna lain masih tular sehingga kini.

Sementara, ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor, daripada UMNO yang dikaitkan dengan tular terbabit, menafikan dakwaan beliau tidak lagi menyokong kerajaan negeri.

Katanya, beliau hanya mengetahui dakwaan bahawa dua ADUN UMNO akan keluar dari kerajaan negeri selepas menerima mesej itu daripada kenalan semalam.

"Persoalannya, hanya ada dua ADUN yang dimaksudkan itu. Maknanya kamilah (saya dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob).

"Apabila ditanya mengenai mesej ini, kami tidak pernah bincang atau ada perkatakan (tarik sokongan), saya buat kerja macam biasa dan hubungan (bersama kerajaan negeri yang diterajui PAS) pun macam biasa.

"(Saya) fikir pasal kerajaan Kedah, apa yang hendak dimajukan di Kedah, tingkatkan prestasi dan jangan cari kontroversi," katanya.

Pada Mei 2020, Perikatan Nasional (PN) dianggotai PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 23 ADUN.

Untuk rekod, ketika ini PAS memiliki 15 kerusi, BERSATU enam kerusi dan UMNO dua kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memiliki 13 kerusi.

Tiada ulasan: