MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah
mengadakan kunjungan dan serahan sumbangan kuih bahulu menjelang
sambutan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat kaum Tionghua di sekitar
DUN ini, di sini semalam.
Menurut beliau selaku juga Timbalan
Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, sumbangan dan ziarah ini adalah rutin
tahunan dilakukan oleh pihaknya bertujuan mengekal keharmonian antara
kaum yang telah wujud sekian lama.
“Bila tiba musim perayaan kebudayaan begini (Tahun Baharu Cina) saya akan bertemu dengan mereka menyampaikan sedikit sumbangan. Semoga ianya dapat menambahkan lagi keceriaan dan kegembiraan buat mereka yang bakal menyambut tahun baru.
“Biasanya kita bagi buah limau tapi kali ini ada kelainan sedikit, saya sampaikan sumbangan kuih bahulu kepada mereka dan mereka menerimanya dengan gembira,” ujar beliau.
Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman yang turut sama dalam kunjungan tersebut berkata, walaupun di Chenor ini tidak ramai penduduk Tionghua, namun pihaknya tetap mengadakan kunjungan bila tiba musim perayaan kebudayaan itu.
“Kebanyakan masyarakat tionghua di sini adalah peniaga dan sudah terbiasa bergaul mesra dengan masyarakat majoriti Melayu di sini, dan keadaan ini harus terus dipupuk bagi mengekalkan suasana aman harmoni sesuai dengan konsep keluarga Malaysia sekarang ini,” ujar beliau.
Sekitar 13 keluarga Tionghua menetap di sekitar Chenor, Pekan Awah, Kampung Bukit Lada dan Kampung Huma Luas serta Kampung Jengka Batu 13 telah dikunjungi oleh delegasi PAS Maran.
Turut sama dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Maran, Ustaz Abdul Latif Abdul Halif dan juga wakil dari Dewan Muslimat PAS Maran. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan