HALAMAN SANTAI

Isnin, 17 Januari 2022

‘Ahli politik bukan hanya perlu bersih rasuah, tetapi juga dadah’ – Khairil Nizam

MALAYSIA POST

‘Ahli politik bukan hanya perlu bersih rasuah, tetapi juga dadah’ – Khairil Nizam

PEMIMPIN yang menjadi wakil rakyat harus bersih bukan sahaja daripada rasuah tetapi juga daripada salah laku yang memberikan imej buruk kepada ahli politik termasuk dadah.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata wakil rakyat harus memberi teladan baik khususnya dalam menjayakan usaha memerangi dadah dalam kalangan masyarakat.

“Bagaimana kita mahu rakyat memerangi dadah sedangkan wakil rakyat sendiri terlibat dalam penyalahgunaan dadah?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Khairil Nizam berkata, ramai yang bertanya pendirian PAS terhadap isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang ditangkap positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang. baru- baru ini.

“Pendirian saya dan PAS terhadap isu tangkapan ini adalah konsisten. Terus berpegang kepada prinsip seseorang itu adalah tidak bersalah selagi mana tidak disabitkan kesalahan secara sah bersama bukti yang sahih.

“PAS mendokong prinsip “rule of law” yang mana setiap daripada rakyat Malaysia ini diberikan hak untuk dibicarakan di mahkamah secara adil dan berpeluang membela diri. Inilah yang dipanggil sebagai keadilan Islam.” katanya.

Khairil Nizam berkata, beliau secara peribadi agak terkejut dengan tangkapan terhadap ADUN DAP tersebut.

“Bagi saya, seorang pemimpin politik mestilah bersih dan bebas bukan sahaja daripada rasuah tetapi juga dadah! Dadah adalah musuh nombor 1 negara dan pihak berwajib terus memeranginya setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, Khairil Nizam juga mempersoalkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang seakan ‘senyap’ daripada memberi komen terhdap isu berkenaan.

“Saya juga lihat tidak ada banyak komen daripada pimpinan PH terhadap isu ini. Walau apapun alasan mereka terhadap isu tangkapan ini, PAS yakin tindakan PDRM adalah berasas.

“ADUN DAP ini juga haruslah diberikan peluang membersihkan namanya jika benar ada orang yang ingin ‘mengkhianatinya’,” katanya.

Dalam pada itu, Khairil Nizam berkata, pemimpin harus sedar bahawa undi generasi muda @ undi 18 menilai semua perkara yang berlaku.

“Mereka tidak teragak-agak menghukum pemimpin yang mereka rasakan tidak sesuai untuk masa depan negara.

“Pesanan saya, jauhilah tempat maksiat kerana disitulah bermulanya masalah sosial yang akan meruntuhkan institusi keluarga dan negara,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan, seorang ADUN dari Perak ditahan polis selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya positif dadah.

Difahamkan, restoran itu dahulunya adalah sebuah kelab malam dan kini beroperasi menggunakan lesen restoran.

Susulan itu, ADUN Pasir Bedamar Terrence Naidu mengeluarkan kenyataan bagi mempertahan dirinya berhubung penahanan beliau di Pulau Pinang selepas didapati positif dadah.

Terrence mendakwa minumannya telah dicampur dengan dadah dan ditambah semasa beliau ke tandas di ruang karaoke. – Malaysiapost

Tiada ulasan: