HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Januari 2022

Beritahulah apa masalah disiplin Khairuddin, kata Nik Abduh


Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menggesa partinya memberikan penjelasan kepada umum sebab sahabat baiknya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, digugurkan sebagai AJK, jika disiplin menjadi puncanya.

Ahli Parlimen Bachok itu menyifatkan Khairuddin seorang pemimpin PAS yang amat kuat menyokong usaha-usaha bagi memulihkan hubungan PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) yang semakin suram.

Membuat andaian menggunakan buah yang masak akan gugur sendiri atau ditiup angin, beliau juga membayangkan Khairuddin ‘gugur’ kerana ada yang ‘menjatuhkannya’.

“Apabila Datuk Seri Setiausaha Agung PAS dengan lantang menolak alasan pengguguran beliau daripada Jawatan Kuasa PAS Pusat atas faktor perselisihan antara MN dan PN, maka nyatalah ia adalah disebabkan hal lain. Ia masalah disiplin dalam parti.

“Buah gugur bila sudah cukup masak atau ditiup angin kuat. Buah juga boleh gugur kerana dipotong atau dibedal dengan galah oleh budak-budak. Gugur mesti bersebab.

“Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada publik, bukan hanya kepada ahli parti sahaja. Ia kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan kepada publik secara rasmi oleh pimpinan parti PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Abduh berkata bukan sahaja ahli PAS, malah orang awam juga berhak mengetahui sebab Khairuddin – juga Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS – digugurkan, kerana jika ia akan mencalarkan akhlak parti itu jika disebabkan isu disiplin.

“Pengguguran kerana isu disiplin adalah satu pencalaran kepada akhlak berjamaah. Tiga pihak yang akan terjejas atau rasa terhiris dengan pencalaran tersebut. Diri beliau sendiri, para penyokong beliau atau pastinya Majlis Syura Ulamak PAS juga. Beliau memegang satu jawatan besar yang termaktub dalam perlembagaan PAS.

“Justeru, saya kira penjelasan rasmi harus diberikan segera. Ia boleh membina persepsi yang baik kepada parti PAS. PAS sekarang memerintah negara. Segala mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat. Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus,” katanya.

Untuk rekod, Nik Abduh dan Khairuddin sebelum ini gagal mempertahankan jawatan AJK PAS Pusat bagi sesi 2021-2023.

Nik Abduh berkata lebih memburukkan keadaan ialah apabila ada seorang ‘orang besar’ parti mencabar Khairuddin supaya menyatakan alasan di sebalik penggugurannya.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS, termasuk diberhenti atau ditukarkan.

(*) Kenyataan penuh Nik Abduh di ruang rencana 

Tiada ulasan: