KOTA KINABALU: Kesilapan pada pilihan raya umum yang lepas harus menjadi pengajaran kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak lagi meletakkan banyak muka lama sebagai calon.
Maka, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), BN perlu meletakkan lebih ramai calon muda seiring dengan pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, perubahan landskap politik semasa memerlukan parti-parti politik menampilkan lebih ramai calon muda.
“Pada masa ini, pengundi muda lebih ramai dan mereka mahu diwakili oleh suara-suara anak muda yang berani dan tegas dalam berbahas serta mampu mengangkat isu dan hak-hak Sabah secara lantang di Dewan Rakyat.
“Semangat orang muda amat diperlukan. Jika dilihat, pemimpin pembangkang pun banyak ketengahkan calon muda dan formula itu berjaya.
“Ini antara perkara kita perlu belajar daripada PRU-14, ketika itu, kita (BN) masih meletakkan muka-muka lama sehingga pengundi mahukan kelainan dan pemimpin baharu dengan idea lebih segar,” katanya.
Malah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, BN Sabah meletakkan hampir 80 peratus muka baharu selepas kepimpinan sekarang menerajui parti.
Mengulas lanjut katanya, tidak timbul isu calon muda kurang berpengalaman kerana semasa BN dalam pembangkang, pemimpin muda sekarang sudah rasa menjadi pembangkang dan ditolak oleh rakyat pada PRU-14.
“Dalam konteks pemimpin BN Sabah, sejak menjadi pembangkang sehingga sekarang, kita sentiasa turun mendampingi rakyat dan memahami aspirasi rakyat Kita tahu masalah dihadapi rakyat apabila kita menjelajah dari kampung ke kampung.
“Pemimpin BN sekarang sudah mengalami dua fasa dalam pentadbiran iaitu sebagai kerajaan dan juga pembangkang jadi, kita tahu bagaimana untuk mengangkat suara rakyat,” katanya.
Tambah beliau, PRU-15 mungkin akan menyaksikan pertembungan antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan (Warisan) jadi, kecenderungan pengundi masih belum dapat dipastikan terutama pengundi muda yang berusia 18 hingga 25 tahun.
Maka, rakyat akan membuat penilaian berdasarkan tiga peralihan pemerintahan daripada zaman PH, PN dan sekarang di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebelum ini, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahman Wan Omar berkata, parti-parti politik perlu memberi peluang kepada orang muda bertanding dalam PRU-15 atau sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan