Mendakwa DAP gagal membela rakyat, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti tersebut di Sabah bertindak mengumumkan keluar parti.
Dua ADUN tersebut adalah Justin Wong Yung Bin (Sri Tanjong); ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dan ia termasuk bekas senator, Adrian Lasimbang.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu kenyataan bersama dengan memberi alasan langkah tersebut diambil memandangkan kegagalan DAP Sabah melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah.
“Kami memulakan kerjaya politik demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur lebih baik, malah paling penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.
“Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” kata mereka menerusi kenyataan berkenaan malam tadi.
Dalam kenyataan itu, mereka turut menyatakan kekecewaan terhadap kepemimpinan DAP Sabah di bawah Pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Foon yang didakwa kurang menunjukkan kepercayaan dalam jawatankuasa negeri.
Mereka juga mendakwa parti itu sudah hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman dan masalah komunikasi teruk di antara pemimpinnya.
“Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Berikutan tindakan dua ADUN terbabit, DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah hanya kalah satu kerusi iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.
DAP Sabah menjadi parti pembangkang kedua yang kehilangan ADUN selepas Parti Warisan berikutan tindakan mereka keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti.
Wrisan setakat ini sudah kehilangan lima ADUN termasuk yang terbaharu ADUN Melalap yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan