HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Januari 2022

Keputusan SC tak menghairankan – Kadir Jasin

AMRI

Keputusan SC tak menghairankan – Kadir Jasin

TOKOH wartawan, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam siasatan kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan saja tidak menghairankan, malah telah dijangka.

Beliau berkata, ‘satu dunia’ tahu pasal SC telah membuat kenyataan yang ia akan “siasat” isu perniagaan saham Tan Sri Azam Baki.

“Yang boleh jadi banyak orang tidak tahu ialah SPRM sendiri sedang “disiasat” SC bersabit kes-kes berkaitan percanggahan kepentingan, “insider trading” dan pengubahan wang haram.

“Semua orang yang terlibat atau berminat dengan dunia korporat dan pasaran saham tahu bahawa SC sendiri telah menyiasat dan mensabitkan beberapa tokoh korporat daripada pelbagai kaum dalam kegiatan “insider trading” iaitu jual beli saham dengan maklumat dalaman, tapi tidak dibawa ke mahkamah. Habis-habis sangat dikompaun.

“Konklusif atau tidak hasil siasatan SC ke atas Azam Baki bukanlah isu pokok. Isu pokoknya ialah Azam Baki sendiri tidak menafikan pemilikan saham yang dipersoalkan itu. Cuma dia mendakwa adiknya, Nasir Baki, “menggunakan” akaun Central Depository System (CDS) miliknya untuk berniaga,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Kadir berkata mustahil SC yang diurus ahli-ahli lembaga yang pakar dalam hal urus niaga sekuriti, tidak boleh beritahu sama ada betul atau salah perbuatan pinjam meminjam CDS ini?

Malah katanya, Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam boleh menyiasat Azam daripada aspek tatatertib.

“Takkanlah urus niaga yang dilakukan dalam tahun 2015 dan 2016 tidak boleh dikesan dan disahkan?

“Lainlah kalau tahun 1972, bila saya mula-mula belajar buat laporan pasaran saham. Masa itu urus niaga dicatat atas papan hitam dan disimpan dalam “ledger”. Sekarang dunia digital Tuan-tuan dan Puan-puan,” katanya.

Semalam SC semalam berkata, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam dan menamatkan inkuiri.

Susulan itu, Azam menzahirkan rasa syukur atas keputusan SC yang mendapati tiada sebarang kesalahan terhadapnya berhubung  dakwaan pemilikan saham menerusi akaun dagangan milik dirinya.

Dengan itu, Azam berkata beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah tanpa mengira darjat atau pangkat. – Malaysiapost

Tiada ulasan: