HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Januari 2022

Kerjasama PBM dan BN, ia masih belum dimuktamadkan - Larry Sng

Astro Awani
Kerjasama PBM dan BN, ia masih belum dimuktamadkan - Larry Sng
PBM juga akan menilai gabungan mana yang sesuai untuk bekerjasama dengan mereka.
 
KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sekiranya ia menepati aspirasi dan hala tuju parti baharu itu.
 
Bagaimanapun, jelas presiden baharunya, Larry Sng, usul kerjasama PBM dan BN itu adalah disuarakan akar umbi dan belum dimuktamadkan.
 
Katanya, PBM juga akan menilai gabungan mana yang sesuai untuk bekerjasama dengan mereka. 
 
"Ia belum muktamad (kerjasama BN). Ini adalah usaha sahaja daripada akar umbi yang berada dalam mesyuarat tadi dan sekarang pemimpin PBM akan berbincang serta 'meneroka' pilihan yang ada. Apa yang penting adalah penyelesaian menang-menang (PBM dan BN).
 
"Kerjasama hanya akan berlaku jika kita mencapai kata sepakat dan untuk kebaikan semua. Kita akan mempertimbangkan untuk bersama-sama dengan sesuatu gabungan dalam kerajaan.
 
"Ingin saya jelaskan PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
 
Pada Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) PBM, Larry dilantik sebagai presiden baharu.
 
Selain Larry, seramai 30 ahli jawatankuasa kepimpinan baharu PBM turut dilantik termasuk bekas Exco Kerajaan Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Wong Judat sebagai timbalan presiden.
 
Ditanya mengenai dakwaan PBM akan disertai pemimpin tertentu termasuk Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin, Larry berkata ia hanya spekulasi.
 
"Setakat ini kita tidak meberima borang permohonan untuk (mereka) menyertai PBM... jadi saya tidak boleh komen lanjut mengenai perkara itu.
 
"Bagaimanapun, PBM adalah parti terbuka untuk semua bilangan kaum. Jika ada pemimpin baik Ahli Parlimen atau ADUN, kita boleh berbincang," katanya.

Tiada ulasan: