MALAYSIA POST
BEKAS Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang digugurkan daripada jawatan itu masih mempunyai kedudukan sebagai Setiausaha Majlis Syura.
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS, Nasrudin Hassan, berkata perkhidmatan berkaitan dakwah tidak semestinya memerlukan jawatan kerana ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai keadaan, lapor Berita Harian.
“Khairuddin masih boleh memperjuangkan usaha menyebar syariat Islam meskipun tidak memegang jawatan dalam parti.
“Sebagai Setiausaha Majlis Syura, banyak yang boleh dilakukan sebagai sumbangan ke arah memperkukuhkan agama dan perjuangan Islam,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini.
Nasrudin yang juga Yang Dipertua YADIM berkata, pimpinan PAS mempunyai mesej jelas berhubung pengguguran Mohd Khairuddin.
Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS minggu lalu selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.
Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang dilaporkan berkata, pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS, termasuk yang diberhenti atau ditukarkan.
Pada muktamar PAS ke-67 November tahun lalu, Mohd Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi parti yang dilantik semula menduduki ahli jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 selepas tewas pada pemilihan parti. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan