JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang menolak dakwaan kononnnya beliau bakal menjadi pencetus berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menjadi wakil rakyat bebas.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau itu menjawab desas desus yang menjadi bualan hangat sejak kebelakangan ini kononnya beliau akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada.
Menurutnya, khabar angin itu bukan perkara baharu membabitkan dirinya bahkan namanya sudah kedengaran sejak tahun lalu lagi.
“Sehingga hari ini, saya masih lagi ahli Bersatu dan masih lagi Ketua Bahagian Bersatu Tebrau. Khabar angin memang macam-macam. Saya boleh jadi apa sahaja dalam khabar angin itu.
“Politik ini kita tidak tahu apa akan jadi akan datang. Hari ini boleh jadi kawan, esok jadi musuh, musuh pula boleh jadi kawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Menurut Mazlan, dalam Perlembagaan, hak kebebasan untuk sesiapa sahaja menyertai apa jua parti politik dan selagi tiada perubahan dan daripada segi undang-undang, semua orang bebas berbuat demikian.
Baru-baru ini, nama Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor menjadi bahan bualan bahawa dirinya akan menjadi sebagai wakil rakyat bebas.
Sekiranya beelaku ia membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.
Dalam pada itu, Mazlan juga menolak khabar angin akan berlakunya PRN Johor dalam masa terdekat.
“Setakat ini, saya rasa tidak akan berlaku PRN dalam masa terdekat. Kita di Johor, walau ada satu majoriti, keadaannya amat stabil kecuali ada hal luar jangkaan berlaku.
“Namun, setakat ini daripada segi keakraban dan juga perkongsian kuasa dari parti politik yang ada dalam kerajaan, kita tiada masalah untuk kekalkan kerajaan negeri.
“Apa yang baik di Johor ini kita dapat kerjasama yang baik dari pembangkang apatah lagi kita masih dalam pandemik Covid-19,” katanya.
Banjir yang berlaku sehingga menjejaskan beberapa daerah di negeri itu juga menyukarkan berlakunya PRN dalam masa terdekat, katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan