Amirrul Rabbani
Menteri
Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika
menghadiri pada program Pelancaran Kutipan Derma MCA untuk Hospital
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di UTAR Kampar hari ini. - Foto
BERNAMA
KAMPAR: MCA bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata bagaimanapun pihaknya belum mendapat sebarang maklumat lanjut atau mengadakan mesyuarat tentang PRN terbabit.
Namun, katanya MCA tetap bersedia sekiranya berlaku apa juga pilihan raya pada bila-bila masa, termasuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Bagi MCA, kita berdepan dengan sama ada PRU15 atau PRN di mana-mana kita tetap mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sama.
“Tatacara kita adalah kita bersiap-siaga kerana kita dah masuk tahun keempat. Bila dah masuk tahun keempat, bila-bila masa akan berlaku PRU ataupun PRN.
“Jadi tak ada bezanya bulan depan atau tahun depan, kita tahu ia tak akan menjangkau pertengahan tahun depan. Jadi kita dah tahu, dapat agak, untuk tempoh 18 bulan akan datang PRN atau PRU, kita akan berdepan… bila-bila sahaja wisel ditiupkan, kita akan bersiap-siaga dan akan pastikan orang-orang kita sudah turun di bawah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kutipan dana MCA bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di kampus UTAR di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan 1, merangkap Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Dalam pada itu, Ka Siong menegaskan kesiapsiagaan jentera parti telah dibuat bagi memastikan rakyat dapat didekati setiap masa tanpa menunggu dalam tempoh pilihan raya sahaja.
Khabar angin mulai tersebar mendakwa PRN Johor akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang yang mempunyai 27 kerusi.
Ia susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian pada Disember lepas.
Pada masa ini, DUN Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), sementara Bersatu (11) dan Pas (satu).
Manakala Pakatan Harapan (PH) memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan