MALAYSIA POST
MALAYSIA kini dilanda tanda-tanda yang boleh membawa kehancuran dan kerosakan kerana kejahatan pemimpin jika dilihat dari segi syariat Islam, kata Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, berkata keadaan itu telah meninggalkan kesan kepada rakyat yang bergantung harap kepada pemimpin berkenaan.
Menurutnya, sebesar-besar kejahatan ialah menjadikan kedudukan sebagai habuan peribadi dan dalam proses itu mengkhianati amanah dan mandat ummah.
“Apa yang berlaku kepada isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah amaran keras kepada sesuatu kejahatan yang dibuat siang-siang hari. Ia adalah perbuatan mengkhianati amanah sedangkan dia dipertanggungjawabkan menjaga integriti negara.
“Alasannya juga dibuat terang-terangan tanpa rasa bersalah kononnya saham itu adalah adiknya yang punya dengan menggunakan akaunnya di Suruhanjaya Sekuriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, terdapat banyak persoalan lagi akan terdedah apabila seorang yang berkedudukan tinggi amanahnya mula mempertahankan pengkhianatannya.
Menurutnya, negara juga dikejutkan dengan bencana banjir baru-baru ini, namun apa yang lebih menggerunkan ialah batang-batang balak yang bergelimpangan dibawa arus air banjir sehingga terhempas di atas bumbung rumah-rumah rakyat.
“Kerosakan nampak jelas kerana ketamakan manusia di atas yang meninggalkan kesan menyayat hati kepada rakyat. Balak yang dicari tetapi bala pula menimpa rakyat,
“Ini petanda kejahatan yang dilakukan terang-terangan dan hikmah banjir mendedahkan segalanya! Sekarang kejahatan dapat dilihat oleh semua rakyat,” katanya.
Mujahid berkata, sebagai membela kepentingan syariat Islam, umat bersama rakyat harus bangkit memberhentikan kejahatan siang-siang hari yang mencabar hak Allah tanpa rasa segan silu.
“Allah memerintahkan umat Islam menentang rasuah adalah kerana ia satu bentuk pembohongan, pengkhianatan dan kezaliman yang membawa bala kemusnahan kepada semua orang.
“Syariat dijadikan adalah demi kemaslahatan manusia dan alam sekitarnya. Kemaslahatan yang dinodai adalah kesombongan terhadap Allah,” katanya.
Menurutnya, adalah menjijikkan apabila pengkhianatan rasuah dan pembohongan dipertahankan oleh pihak berwajib dan umat mendiamkan diri kerana dilalikan dengan mentera ‘Melayu-Isle’.
“Ada pula yang memilih ‘perjuangan lebih besar’ dengan slogan ‘No Anwar, No Dap’ dan ‘Islam Terancam’. Apa sudah jadi kepada kita! Kejahatan di siang hari telah Allah tunjukkan, di mana akal dan dhomir hati kita? Butakah kita?” soalnya.
Beliau berkata, rakyat perlu memastikan pemimpin yang menjaga amanah umat dan negara melalui Pilihan Raya Umum nanti. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan