HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Januari 2022

PBM perjuang 6 teras agenda utama – Zakaria

MALAYSIA POST

PBM perjuang 6 teras agenda utama – Zakaria

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan memperjuangkan enam teras agenda utama parti itu demi masa hadapan negara yang lebih cemerlang.

Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid, berkata ianya adalah keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita, pemerkasaan anak muda, pembangunan ekonomi, peningkatan pendidikan dan kemajuan Sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Sebagai sebuah parti yang masih baharu dalam arena politik nasional, PBM sedar akan cabaran dan halangan yang mendatang, namun tetap bertekad untuk meneruskan perjuangan demi masa hadapan negara yang lebih gemilang.

“Setelah selesainya Mesyuarat Agung Khas (EGM) dan pemilihan kepimpinan baharu PBM semalam, kita telah menerima pelbagai reaksi daripada ahli politik dan rakyat.

“Pandangan positif dan negatif yang disuarakan telah diambil maklum dan akan dibuat tindakan susulan oleh kepimpinan parti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, PBM bukan sebuah parti yang bergerak berlandaskan retorik, tetapi mempunyai aspirasi untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan status sosial mereka.

Mengulas lanjut, katanya, sebagai sebuah parti yang menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, pihaknya turut bersetuju dan yakin dengan iltizam Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“PBM adalah medium penyatuan bagi memastikan tiada golongan rakyat Malaysia yang tercicir, sama ada dari sudut pembangunan ekonomi, mahupun perkembangan sosial.

“Kami berharap perjuangan yang dibawa oleh PBM akan mendatangkan manfaat kepada generasi rakyat Malaysia,” katanya.

PBM dilaporkan telah melantik barisan kepimpinan baharu dalam satu EGM di Hotel RH Sibu, Sarawak semalam.

Jawatan Presiden disandang oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng @ Soon Wei Shien dan Timbalan Presidennya, Haniza Mohamed Talha. – Malaysiapost

Tiada ulasan: