HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Januari 2022

PBM sertai BN, beri kesan negatif hubungan dengan GPS

MALAYSIA POST

PBM sertai BN, beri kesan negatif hubungan dengan GPS

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mempersoalkan tujuan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baharu Larry Soon @ Sng mengumumkan mahu menyertai komponen BN.

Beliau berkata, pendapat daripada akar umbi harus diambil kira dan ianya tidak menjadi masalah jika keputusan Larry mahu menyertai BN atas sebab ikhlas menyokong gabungan itu.

“Tetapi kalau nak join sebab nak minta kerusi, itu akar umbi (termasuk saya sendiri) tidak boleh terima terutama sebab kamu ini pelompat parti dan bekas katak.

“Dan juga, BN adalah rakan karib Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. Jika kita terima parti baru ini dan Larry ingin bertanding di kerusi Parlimen di Sarawak atas tiket dan bendera BN, itu akan memberi kesan negatif terhadap hubungan antara BN dan sahabat kita GPS,” katanya dalam hantaran Facebook.

Isham berkata, pada hematnya keputusan menerima Larry sebagai komponen BN bukan idea yang baik.

“Hanya pendapat saya. Apa-apa pun terima kasih kerana sokong BN. Saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan yang bijak,” ujarnya.

Terdahulu, 12 bahagian PBM dilaporkan mengusulkan agar parti mereka menyertai gabungan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Larry berkata, usul itu telah dipersetujui barisan kepimpinan baru parti dengan sesi perbincangan lanjut dengan Majlis Tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, mereka juga akan menghubungi Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – Malaysiapost

Tiada ulasan: