MALAYSIA POST
PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat berikutan masalah disiplin, tidak perlu diperjelaskan kepada umum.
Abdul Hadi, berkata isu berkenaan adalah perkara dalaman parti dan tindakan yang diambil terhadap bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi adalah hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas secara terperinci berhubung masalah displin Ahli Parlimen Kuala Nerus.
“(Apa yang berlaku), itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja dan sehingga ini, saya mendapat maklumat daripada akar umbi (bahawa) 99.9 peratus berpuas hati (setuju dengan pengguguran itu),” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sementara itu, ditanya sama ada pengguguran itu berkaitan dengan Muafakat Nasional (MN), Ahli Parlimen Marang itu menegaskan ia hanya berkaitan disiplin Mohd Khairuddin.
“Dia belum dipecat (tetapi) digugurkan sahaja sebelum pada itu sudah ada nasihat sudah ada tindakan awal kemudian gugur daripada AJK Pusat.
“Mengenai pengganti pula, itu akan dilihat bila-bila ada keperluan (dan) setakat ini, parti berjalan macam biasa,” katanya.
Tambah Abdul Hadi lagi, tiada perpecahan yang berlaku di dalam parti susulan pengguguran bekas Mohd Khairuddin.
“Tiada perpecahan, kita telah mengalami lebih besar daripada itu yang tubuh Parti Amanah Negara (Amanah)anjuran DAP dan PKR tubuh Amanah dapat menarik sebahagian besar PAS.
“(Tetapi) ia tidak terjejas bahkan krisis Kelantan pada 1979, ramai-ramai letak jawatan PAS (tetapi PAS) tak terjejas bangkit semula dan tawan balik Kelantan,” katanya.
Kelmarin, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul menuntut penjelasan rasmi pimpinan tertinggi PAS berhubung pengguguran Mohd Khairuddin sebagai AJK parti itu.
Dalam kenyataan itu, bekas Ketua Pemuda yang juga AJK PAS Pusat itu berkata, penjelasan mesti diberikan, bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi secara menyeluruh untuk pengetahuan awam.
Pada 14 Januari lalu, Abdul Hadi mengesahkan Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.
Katanya, pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS, termasuk diberhenti atau ditukarkan. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan