HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Januari 2022

PRN Johor: Ia akan terus menjadi tanda tanya - MB

Astro Awani
 
PRN Johor: Ia akan terus menjadi tanda tanya - MB
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Keusahawanan Johor 2020 di PERSADA Johor hari ini. - Foto BERNAMA
 
JOHOR BAHRU: Khabar angin bahawa Kerajaan Negeri Johor akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat akan terus menjadi khabar angin dan tanda tanya.
 
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung isu PRN.
 
Hasni berkata, majoriti tipis hanya dengan satu kerusi masih menjadi elemen utama yang dilihat kerajaan sebelum memutuskan sebarang kemungkinan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan. 
 
“Saya masih lagi berpendapat bahawa saya perlu melihat kepada keadaan apabila kerajaan hanya mempunyai satu majoriti, Johor tidak sukalah dengan istilah satu itu, kalau ada pihak yang menyatakan bila hendak diadakan pilihanraya atau mungkin sudah ada tarikh pilihan raya kecil atau PRN ini," kata Hasni.
 
"Seingat saya sebagai Menteri Besar, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan selain daripada melihat dan meninjau sebarang kemungkinan apabila Kerajaan Johor hanya memiliki satu majoriti sahaja. Itulah keadaan yang masih ada pada hari ini,” tambahnya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Anugerah Keusahawanan Johor 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini pada isnin.
 
Hasni memberikan reaksi itu selepas ditanya mengenai spekulasi yang bertiup kencang berhubung PRN akan diadakan dalam masa terdekat.
 
Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor juga berkata, Kerajaan Negeri kini tidak melihat soal sokongan parti-parti gabungan dan pembangkang sebagai isu untuk sebarang kemungkinan PRN diadakan.
 
Katanya, isu sokongan itu juga tidak berbangkit buat masa ini.
 
Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Hasni kini hanya mempunyai 28 kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia
 
Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi.

Tiada ulasan: