MALAYSIA POST
SEORANG Ahli Parlimen pembangkang hari ini menghantar satu usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berhubung isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Usul tergempar di bawah peraturan 18(1) Dewan Rakyat itu dikemukakan Ahli Parlimen Pulai dari Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub supaya ia dapat diterima dan dibahas pada 1 Mac 2022 iaitu sesi Parlimen bagi membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Pagi ini bagi pihak rakyat Malaysia saya mengambil tanggungjawab membawa isu pemilikan saham yang sangat mencurigakan oleh penjawat tertinggi SPRM.
“Saya harap usul yang penting ini dapat diterima dan dibahas di dewan persidangan bukan dalam kamar khas kerana isu ini sangat menyentuh persoalan intergriti seorang penjawat awam.
“Isu ini menimbulkan persoalan kepercayaan dalam alangan rakyat awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai semasa menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.
Semalam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyatakan rasa puas hati dengan penjelasan yang diberi oleh Azam berhubung isu pemilikan saham berkenaan.
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang dilaporkan berkata, Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham seperti didakwa sesetengah pihak.
Azam dalam sidang media sama berkata, saham berkenaan dibeli oleh adiknya pada tahun 2015 menggunakan namanya.
Beliau turut menegaskan tidak mempunyai kepentingan dalam pemilikan saham berkenaan. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan