HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Januari 2022

Siasat MP Kulai: Polis tidak cekap atau berlaku salah guna kuasa? soal Kit Siang

Ketua Polis Negara Acryl Sani perlu menjelaskan mengapa polis menyiasat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berhubung hantaran media sosial dari empat tahun lepas, demikian menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Beliau mempersoalkan apakah siasatan semula dilakukan sama ada kerana ketidakcekapan polis atau salah guna kuasa di bawah kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri.

Hantaran media sosial itu pada asalnya dibuat oleh aktivis-artis Fahmi Reza dan Nie Ching telah berkongsi hantaran berkenaan di Facebook rasminya bersama dengan kapsyen “pertahankan kebebasan berekspresi, kebebasan bersatira”.

Menurut Lim Kit Siang, polis telah memaklumkan kepada Nie Ching bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan) dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan rangkaian dll).

“Bukankah polis mempunyai perkara yang lebih baik untuk dilakukan?

“Saya menyokong sepenuhnya kenyataan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) bahawa pihak penguatkuasa tidak seharusnya digunakan untuk mengganggu penentang dan polis harus menumpukan perhatian kepada memerangi jenayah dan bukan menjadi alat politik untuk menakut-nakutkan atau mengganggu orang ramai, terutamanya ahli parlimen, hanya kerana menyuarakan buah fikiran mereka,” kata beliau.

Terdahulu, polis sedang menyiasat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berhubung hantaran Facebook yang dikongsinya pada April 2017.

Polis juga sedang menyiasat hantaran tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (salah guna kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dll).

Tiada ulasan: